Ahli Umno tidak kejar kemewahan semata-mata

Assalamualaikum



SHAH ALAM - Ahli Umno berjuang demi rakyat dan bagi memastikan agenda perjuangan dicapai, bukan kerana mengejar kemewahan.

Exco Pemuda Umno, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz berkata, mana-mana pemimpin Umno yang menghabiskan masanya berkhidmat untuk rakyat dan pada masa sama fokus pada kerjaya atau perniagaan sudah tentu mendapat ganjaran dari segi wang ringgit.

“Tetapi untuk mengatakan ahli Umno masuk politik kerana duit atau mahukan kemewahan, itu salah, tidak benar sama sekali.

“Tanyalah mana-mana ahli Umno di peringkat akar umbi, cawangan mahupun bahagian. Kami tidak dapat wang ganjaran selain daripada memastikan agenda umno tercapai,” katanya.

Semalam, dalam wawancara dengan Sinar Harian, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ramai pemimpin masa kini lebih memikirkan kepentingan diri daripada rakyat.

Dalam pada itu, Tengku Zuhri turut menyangkal dakwaan bahawa cara kepimpinan Umno sekarang menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti.

Menurut Tengku Zuhri, Umno terbukti masih kekal bersatu dan kukuh. Ini terbukti hasil kemenangan pada dua PRK di Sungai Besar dan Kuala kangsar apabila parti itu peroleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.

“Dalam mana-mana parti politik perbezaan pendapat biasa berlaku dan itu adalah hak demokrasi setiap ahli parti. Parti pembangkang juga berpecah. Perpecahan bukan perkara baharu dalam parti.

“Tengku Razaleigh juga pernah keluar dari Umno dan menubuhkan parti Semangat 46. Namun, akhirnya kembali bertaut kepada Umno. Ini membuktikan Umno masih relevan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menafikan dakwaan Ku Li yang mengaitkan kepimpinan Pas sebagai penyebab perpecahan dalam kalangan Melayu.

“Ini kerana perpecahan dalam parti boleh berlaku atas banyak faktor. Umno sendiri pernah berpecah beberapa kali.

“Setiap kali perpecahan berlaku tidak semestinya ia menunjukkan orang Melayu tidak berpuas hati dengan Umno. Ku Li sendiri pernah mewujudkan parti serpihan Umno, Semangat 46 dan kemudiannya kembali pada Umno,” katanya.

Katanya, kerajaan Pas di Kelantan telah terbukti menjaga hak dan kepentingan orang Melayu terutama melibatkan tanah rezab Melayu.


Ku Li dalam wawancara sama mendakwa orang Melayu tidak berpuas hati dengan cara Pas dan Umno memimpin sekarang sehingga menyebabkan wujud pelbagai puak parti serpihan daripada Umno dan Pas.


0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.