Penuntut hilang di Perancis

Assalamualaikum
Sungai Petani: Penuntut Malaysia di universiti di Perancis dilaporkan tidak pulang ke rumah sewanya di sana, sejak keluar pada Jumaat lalu.
Penuntut terbabit, Norsakinah Naim disedari tidak pulang oleh rakan serumahnya yang menunggu selama dua hari sebelum membuat laporan kepada Kedutaan Malaysia di Perancis.
Penuntut tahun pertama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di IUT De Rouen Universti Rouen itu mengambil jurusan kejuruteraan kimia dan berasal dari Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini.
Ayahnya, Naim Awang, 46, berkata, Norsakinah adalah pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula,Tikam Batu apabila mendapat 10A1 pada 2015.
Katanya, dia difahamkan sebelum kejadian, rakan Sakinah yang pulang ke rumah sewa mereka menemui telefon bimbit anaknya itu yang sedang berdering dan ditinggal di dalam bilik.
"Saya diberitahu oleh guru kaunselor di SMK Pekula, bahawa anak saya ada menghubunginya pada Jumaat namun talian terputus selepas beberapa ketika.
"Guru berkenaan kemudian menghubunginya semula pada Sabtu dan dijawab oleh rakan serumah yang memberitahu Nursakinah tidak pulang ke rumah," katanya ditemui di rumahnya pagi tadi.
Katanya, dia dan isteri Nur Haluzah Ahmad, 43, terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada pegawai Kedutaan Malaysia Perancis kira-kira 8 pagi semalan memaklumkan Norsakinah tidak pulang ke rumah dan gagal dikesan.
"Patutlah Norsakinah tidak menelefon emaknya sejak tiga hari lalu. Buat masa ini saya dan isteri hanya mampu berdoa dan berharap Norsakinah dapat ditemui dengan segera," katanya.



0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.