Annuar sedia Merebut jawatan presiden FAM

Assalamualaikum
TAN Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan bersedia untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan kongres persatuan itu, awal tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu secara terbuka mengakui berminat untuk memegang jawatan nombor satu itu setelah penglibatannya bersama badan induk bola sepak kebangsaan itu hanya ‘sekejap jalan’ sebelum ini.

“Kalau ditakdirkan ramai konsensus (ahli gabungan) kata (hendak) saya jadi Presiden FAM, Insya-ALLAH saya akan cuba pertimbangkan tapi buat masa ini, itu (jawatan presiden) bukan keutamaan kerana saya bersedia bekerja dengan sesiapa sahaja.

“Saya akan buat penilaian sendiri, kalau bersesuaian dan saya (fikir) boleh menyumbang kepada bola sepak negara (untuk bertanding), sebab dahulu tak selesai kerana pegang (jawatan timbalan presiden) sekerap kena gantung,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.

Pemilihan baharu barisan kepimpinan FAM bakal diadakan pada kongres ke-53 yang dijadualkan awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikhnya, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Annuar tidak mahu terburu-buru sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat memandangkan pertandingan bagi merebut jawatan itu hanya berlaku apabila exco FAM mengeluarkan notis untuk mengadakan kongres, tidak lama lagi. 

“Jadi saya fikir eloklah kita tunggu proses itu berjalan kerana pada masa ini saya difahamkan sudah ada pertemuan dan perbincangan dilakukan dalam kalangan pemimpin-pemimpin bola sepak (persatuan negeri) sebelum pemilihan sebenar berlaku.

“Banyak benda yang nak buat (tapi) tak terbuat. Tak semestinya jadi presiden, kita bukan tengok kepada jawatannya kerana siapa pun yang pegang bagi saya tak ada masalah, saya nak tengok buat sekian kalinya pentadbiran pengurusan bola sepak negara mesti berubah,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu barisan kepimpinan baharu yang dipilih pada kongres kali ini dipimpin secara demokratik dan bukan lagi diterajui oleh seorang individu sahaja.

“FAM mestilah mengutamakan kepentingan anggota. Sekian lama kita menjadi ahli gabungan tetapi tidak dirujuk malah tidak diambil kira. Presiden sama presiden tidak pernah berjumpa dan apa-apa yang hendak dilakukan kadang kala ‘izin dalam paksa’ sepanjang masa.


“Saya harap FAM mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua ahli. Saya ingin melihat perubahan kaedah penganjuran Liga-M (Malaysia) sesuai dengan standard yang dianjurkan di seluruh dunia di mana liga itu mestilah diuruskan secara profesional oleh badan di luar daripada badan induk kebangsaan,” katanya.






loading...

0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.