Keluarga Dr Fauziah bersedia sebarang kemungkinan mengenai nasibnya setelah kapal yang dinaiki mereka ditahan pihak Israel.

Assalamualaikum
SERI KEMBANGAN - Anggota keluarga Dr Fauziah Mohd Hasasan, wakil tunggal Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Women's Boat to Gaza (WBG), sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan mengenai nasibnya setelah kapal yang dinaiki mereka ditahan pihak Israel.Suaminya Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata penglibatan isterinya dalam misi kemanusiaan ke beberapa negara sejak sekian lama telah menjadikan dirinya dan anak-anak mereka sudah biasa dengan keadaan itu.

"Walaupun  penahanan itu merupakan yang pertama kali terjadi ke atasnya, kami sudah sedia dengan segala berita yang bakal diterima.

"Bagaimanapun kami sangat berharap agar pihak Israel dapat melepaskan kesemua ahli misi termasuk isteri saya dan seterusnya dapat meneruskan misi mereka ke Gaza bagi membantu masyarakat yang memerlukan di sana," katanya kepada pemberita.

Kapal Zaytouna-Oliva bersama tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita WBG termasuk Dr Fauziah ditahan pada jam 2.58 petang waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia) pada Rabu.

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan kapal itu yang dalam perjalanan menuju Gaza ditahan dan ditunda oleh tentera Israel di Pelabuhan Ashdod.

BMG disertai wakil dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia baagi menunjukkan sokongan  kepada rakyat Palestin.

Mohd Alauddin berkata kali terakhir beliau menerima panggilan daripada isterinya ialah pada Sabtu lalu ketika kapal tersebut melalui perairan Pulau Crete, Greece.

"Menerusi panggilan itu, dia cuma cakap semuanya dalam keadaan baik dan peserta misi bersemangat tinggi untuk meneruskan misi mereka," katanya.

Anak kedua Dr Fauziah, Shamil Mohd Alauddin, 31, berkata beliau dan keluarganya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai ibunya menerusi carian berita di Internet.

"Apabila dapat tahu (mengenai penahanan), kami reda dan selalu berdoa agar mereka dapat dibebaskan secepat mungkin," katanya.


Dr Fauziah yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah MyCARE mempunyai tiga orang anak serta enam orang cucu pernah mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan di beberapa negara antaranya Kosovo (1999), Maluku, Indonesia (2000), Afghanistan (2001-2003) serta Gaza (2008, 2012). - Bernama




loading...

0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.