"Papa, why is it Mama always asks me to read?Teori 'Sudu' Beri Idea Untuk Jawab Soalan Si Anak

Assalamualaikum
Artikel ini ditulis oleh Dr Syahr Musafir di laman Facebook.


"Papa, Adik nak makan spageti." 

Saya bawalah sekeluarga ke kedai makan untuk makan malam.

Sambil menunggu pesanan makanan, puteri pertama kami mencuit tangan saya dan bertanya, "Papa, why is it Mama always asks me to read? Mama always says knowledge is important and Kakak and Adik must read to gain knowledge."

"Alamak!" pekik saya dalam hati. Menggaru kepala yang tidak gatal. Di restoran pun Kakak tanya soalan 'cepumas' macam ini, perut pun tengah lapar, payahnya nak memberi jawapan yang tepat.

Saya senyum dan berfikir apa nak jawab, tiba-tiba "Prang!" si Adik, puteri kedua kami terjatuhkan sudu ke lantai restoran. 

Cepat-cepat isteri saya nak ambilkan, saya cepat-cepat menahan dan minta Kakak ambilkan.

"Teng-yu, Kakak," kata Adik apabila Kakak menghulurkan sudu kepadanya. 
"Mama wash, boleh?" pinta Adik sambil menghulurkan sudu tadi kepada isteri saya, memang diajar kalau sudu jatuh, kena cuci sebelum guna. 
Isteri saya bangun menuju ke arah sinki.


Alhamdulillah, ketika itu jugalah Allah swt lahirkan ilham dalam benak kepala saya. Pernah terbaca atau terdengar orang bercerita.

Saya menoleh ke arah Kakak dan memulakan perbualan dengan satu soalan, "Kakak tahu sudu dibuat daripada apa?"

"Steel!" jawab Kakak. 
"Oh, no! I don't know, besi kot," sambung Kakak.

Sambil senyum kepadanya, saya memberi jawapan, "It can be both, steel or besi. But let say besi.. Senang Papa nak cerita."

"Ok, besi!" sahut Kakak, bersekali dengan Adik yang turut nak mendengar cerita.

"Apabila kita jatuhkan sudu yang diperbuat daripada besi, apa jadi?"

"Jatuh!" jawab Adik. 
Kakak mengangguk sambil berkata, "Yes, the spoon falls down."

"Betul, you got it right, Kakak and Adik. Sudu besi jatuh ke lantai apabila kita lepaskan," sambung saya.

"Do you remember the aeroplanes?" soal saya lagi.

Kedua-duanya mengangguk bersungguh-sungguh. Sebelum ini setiap tahun sekurang-kurangnya 6 kali Kakak dan Adik naik kapal terbang ulang-alik Australia-Malaysia. Mana mungkin tak ingat.

"Do you know from what an aeroplane is made of? Ha... Kapal terbang dibuat daripada apa?" tanya saya. Saya memang mengamalkan cara sebegini. Kalau bercakap ringkas, saya sebut ayat Bahasa Melayu dan ayat Bahasa Inggeris. Dua kali cakap benda sama tapi bahasa berlainan. Dwibahasa, dengan harapan anak-anak dapat kuasai kedua-dua bahasa. Setakat ini, alhamdulillah, hasilnya bagus.

"Besi!" jerit Kakak.


"Betul, Kakak. Kapal terbang dibuat daripada besi. Kalau sudu dibuat daripada besi akan jatuh ke bawah, kenapa sebuah kapal terbang yang dibuat daripada besi boleh terbang dan tidak jatuh ke bawah?" soal saya.

"Hm... I don't know, Papa. You should tell me why...." respon si Kakak. Dahinya berkerut, sama macam gaya saya apabila dahi berkerut. Memang anak saya betullah. Sama gaya.

"Besi adalah berat dan akan jatuh ke bawah. Macam sudu besi, kalau kita lepaskan sudu, sudu akan jatuh ke lantai. Tetapi kapal terbang yang dibuat daripada besi dapat terbang ke atas awan dan tidak jatuh. Inilah sebab kenapa Mama kata, ilmu adalah penting. Knowledge is important. Kerana ada ilmulah, besi boleh terbang," saya cuba menerangkan.

"Ooooo," respon si Kakak dengan mengangguk berkali-kali, "Maksudnya, knowledge is important to make aeroplane fly and does not fall down like the spoon... Now I get it! People with knowledge are better people..."

Si Kakak terus ambil dua buku menu di meja, satu diberikan kepada saya dan satu diambilnya. 

"OK, Papa. Now let's read to gain more knowledge!" katanya.

Maka, bermulalah 'kerja' saya melayan si puteri ini membaca pula. Perkataan demi perkataan dalam buku menu di kedai makan ini. Baca menu makanan pula tu. Penat jadi ayah tau, kena layan anak membaca, satu per satu. Heheh.


Salah satu cara nak 'break' kejap adalah dengan cara minta Mama ambilkan foto. Abaikan muka si Papa yang kepenatan tu, baru balik kerja. Lepas ambil gambar, makanan pun sampai ke meja. Siap makan, anak-anak masuk kereta terus tertidur. Penat seharian bermain dan belajar...

DALAM KEHIDUPAN KITA... Ilmu adalah penting. Ilmu mempunyai darjatnya tersendiri. Orang yang banyak harta boleh jatuh miskin jika tiada ilmu. Dan orang miskin yang ada ilmu takkan selamanya miskin. ILMU.. 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)." (Ayat 1 Surah Al-'Alaq 96)

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. Dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." (Ayat 25 Surah Al-Hadiid (Besi))

Dr Syahr Musafir
Page Inspirasi Dr Syahr Musafir & Rahimah AR
201/10/2016
"Ilmu Adalah Cahaya dan Membaca Adalah Lampu Suluhnya"



loading...

0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.