Bagaimana Mempamerkan Rasa Cinta Pada Nabi

Assalamualaikum


Cinta kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam merupakan satu cabang yang besar dalam agama. Bahkan iman seseorang bergantung dengan wujudnya cinta pada nabi. Seseorang itu tidak dikira beriman kecuali dia menjadikan nabi sebagai orang yang paling dicintainya lebih dari dirinya sendiri, ibu bapa serta anak-anaknya dan orang lain.
Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 24:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu suka, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Dalam hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, diriwayatkan oleh Anas R.A berkata:
Nabi Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dicintainya melebihi ibu bapanya, anak-anaknya dan orang lain.
Sekalipun cinta adalah kerja hati, tetapi kesannya boleh dilihat pada tingkahlaku manusia. Cinta mempunyai petunjuk yang membezakan antara cinta yang benar dan cinta yang palsu. Ia juga dapat membezakan siapa yang menunjukkan cara yang betul dan salah dalam mempamerkan cinta.

#1- Taat Dan Patuh

Bukti yang pertama adalah taat dan patuh pada Rasulullahi Sallahu Alaihi Wasallam. Mengikut kehendak orang yang dicintai adalah bukti cinta yang paling kuat. Tanpanya ia dikira dusta. Sebab itu tanda cinta yang besar pada Rasulullahi Sallahu Alaihi Wasallam adalah dengan taat dan patuh pada baginda.
Lebih besar cinta, lagi besar ketaatannya pada nabi.
Taat adalah buah cinta. Justeru Al-Quran telah menekankan ketaatan sebagai tanda cinta kepada Allah dan rasul-Nya dalam surah Ali Imran-31:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.
Dalam ayat ini Allah menjadikan cinta pada nabi sebagai bukti cinta pada Allah. Imam Hasan Al-Basri menyebut tentang perkara ini:
Mereka (kaum musyrik) menyangka mereka mencintai Allah, jadi Allah menguji mereka dengan menurunkan ayat ini. (Kerana mereka menyatakan cinta pada Allah tetapi menolak dakwah nabi)
Benarlah kata penyair:
Kamu bermaksiat pada Allah sedangkan kamu menyangka kamu cinta padanya.
Demi umurku ini adalah tidak benar. Sekiranya cintamu benar, kamu akan mentaatinya. Sesungguhnya tanda cinta bagi yang bercinta itu adalah ketaatan.
Orang yang benar cintanya pada Nabi Salllahu Alaihi Wasallam ialah orang yang taat dan menjadikan nabi sebagai idola serta meninggalkan tuntutan hawa nafsunya.

#2- Beradab Dan Mengagungkan Nabi

Tanda cinta pada Nabi Salllahu Alaihi Wasallam juga ialah mengagungkan dan beradab dengan baginda, serta melakukan apa yang selayaknya sebagai tanda menghormati nabi dengan menyempurnakan adab kita. Ia juga sebagai hak nabi kepada umatnya dan sebagai faktor penting dalam agama.
Allah berfirman di dalam surah Al-Fath; 9:
“(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya serta memuliakannya, dan supaya kamu beribadat kepadanya pada waktu pagi dan petang.
Di antara adab dengan Nabi Salllahu Alaihi Wasallam ialah kita mengutamakan baginda lebih dari orang lain, memuji baginda dengan selayaknya, menghormati kata-katanya, tidak mengangkat suara dan banyak berselawat.

#3- Ikut Sunnah Nabi

Selain itu cinta pada nabi juga digambarkan dengan mengikut sunnah dan syariat yang dibawa baginda. Allah sendiri telah bersumpah bahawa iman seseorang tidak mantap sehingga dia redha dengan segala perintah nabi dalam semua urusan hidupnya, tidak berat hati atau menolak hukum nabi.
Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’; 65:
“Maka demi tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
Allah berfirman lagi di dalam surah An-Nisa’- 60-61
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim (patuh) kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim (patuh) kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

#4- Mempertahankan Nabi

Cinta pada nabi juga adalah dengan mempertahankan nabi dan sunnahnya, melawan orang yang cuba menimbulkan rasa syak pada nabi serta berusaha menghalang penyebaran apa-apa perkara yang tidak benar tentang baginda. Apa yang menyedihkan kita pada hari ini ialah, kefahaman cinta pada nabi telah rosak dan terpesong.
Mereka mencipta selawat, menganjurkan majlis maulid dan bacaan qasidah. Ibadah mereka tertumpu kepada nabi bukan pada Allah. Sepatutnya penghormatan pada baginda dengan menghormati dan beradab dengannya, tetapi ia bertukar menjadi penghormatan yang melampau sehingga mengangkat nabi seolah-olah nabi itu tuhan.
Contoh tersebut antaranya ialah ketika 12 Rabiul Akhir, umat Islam menyambut kelahiran nabi dengan mengadakan majlis membaca qasidah dan pujian, di mana mungkin terdapat unsur yang diharamkan, percampuran lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi yang tidak terdapat dalam syariat. Sekiranya perkara ini baik, sudah tentu umat terdahulu telah melakukannya sebelum kita lagi.
Saudaraku, sesungguhnya cinta pada nabi bukanlah dengan menyanyikan lagu dan qasidah atau kata-kata pujian, tetapi cinta itu adalah dengan taat pada Allah dan rasul-Nya, beramal dengan apa yang telah dibawa baginda.
Sekiranya tidak, adakah cara yang lain bagi orang yang ragu-ragu, sombong, sengaja menyalahi dan yang mengadakan perkara-perkara baru dalam agama menunjukkan rasa cinta mereka pada pada nabi? Berusahalah untuk memahami cinta itu dengan kefahaman yang sebenar dengan menjadikan nabi sebagai idola kita. Itu lebih baik untuk kita di dunia dan akhirat.
Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab-21;
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
KONGSIKAN TAZKIRAH INI


0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.