SABAK BERNAM - Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan
apabila seorang mangsa yang menahan kesakitan masih mampu meriba anaknya buat
kali terakhir selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan
Klang-Teluk Intan, dekat Sekinchan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Norazila
Kamarudzaman, 28, yang mengalami patah lengan kiri sempat mendakap erat
anaknya, Nur Qaireen Khalisya Mohamad Anuwar, berusia enam bulan lalu
meletakkan jenazah anaknya di riba.
Di hadapan Norazila, seorang lagi anak perempuannya yang
masih belum dikenapasti identitinya itu terbaring dengan kesan kecederaan
dialami selepas kereta Proton Perdana yang dipandu suaminya, Mohammad Anuwar
Daud, 31, bertembung dengan sebuah kereta Produa Alza.
Kemalangan dua kenderaan itu turut mengakibatkan pemandu
kereta Produa Alza, Mohd Faizuri Ibrahim, 33, yang juga seorang guru di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Tanjong Karang, meninggal dunia di
tempat kejadian.
Ibu mangsa, Hafsah Supardi, 66, berkata, dia mengetahui
anaknya, Mohammad Anuwar bersama menantu dan cucunya itu terlibat dalam
kemalangan selepas anak sulungnya, Kamal, 42, memaklumkan kejadian itu.
“Makcik dan suami terus ke sana, tak sangka tengok anak
(Mohammad Anuwar) dah berlumuran darah,” katanya.
Hafsah berkata, dia yang tinggal berjiran dengan Mohammad
Anuwar di Tali Air 3 Sekinchan sempat bertandang ke rumah anak lelakinya itu
dan bermain dengan cucu-cucunya itu, malam kelmarin.
“Malam tadi (kelmarin), Makcik datang ke rumah (Mohammad)
Anuwar tengok cucu. Sempat jugalah makcik dokong arwah (Nur Qaireen).
“Tak sangka, itulah kali terakhir makcik dapat cium dan
tengok gelagatnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,”
katanya sebak.
Suaminya, Daud Ahmad, 67, berkata, kejadian berlaku ketika
Mohammad Anuwar yang juga kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak
Bernam bersama menantu dan empat cucunya itu dalam perjalanan dari rumah mereka
menuju ke Sungai Besar.
“Setahu saya dia (Anuwar) hantar anak-anaknya di rumah
pengasuh dan ibu mertuanya. Lepas tu, hantar Norazila (kakitangan di Pejabat
Daerah dan Tanah Sabak Bernam) sebelum terus ke tempat kerjanya,” katanya.
Daud memberitahu, perasaannya sayu sebaik dia dan isteri
tiba di tempat kejadian apabila Anuwar bertanya tentang keadaan isteri dan
anak-anaknya selepas mereka terlibat dalam kemalangan.
“Dia (Anuwar) cakap mana anak aku…mana anak aku? Saya tak
dapat tahan air mata bila teringat kata-katanya yang cari anak dan isterinya
yang telah pun dibawa ke hospital,” katanya.
Katanya, dia kemudiannya mengekori Mohammad Anuwar selepas
anak keempat daripada enam beradik itu dibawa ambulans ke Hospital Tanjong
Karang.
“Saya dapat tahu cucu bongsu meninggal dunia di tempat
kejadian lagi. Tapi saya macam tak percaya, hinggalah bila sampai di hospital
saya terima maklumat Nur Qaireen telah meninggal dunia,” katanya.
Daud memberitahu, tiga lagi cucunya itu dikejarkan ke
Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Guru Penolong Kanan SMK Dato’ Haron, E’Ajis Jaafar berkata,
jenazah Allahyaraham Mohd Faizuri yang berasal dari Terengganu akan disemadikan
di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Pulai.
“Pihak sekolah akan membantu dari segi pengurusan jenazah
mangsa dan kita menanti kepulangan isteri dan anak-anaknya yang kini (sehingga
jam 11 tengah hari semalam) berada di Kota Bharu, Kelantan.
“Kami dapat maklumat, isteri mangsa yang juga seorang
pensyarah di sebuah kolej di Sabak Bernam hadiri majlis kenduri keluarga
terdekat di sana masih menunggu pesawat yang dijangka berlepas jam 1 tengahari
(semalam),” katanya.
Rakan rapat Allahyarham, Mohd Afindi Suaid, 31, berkata, dia
mengenali arwah sejak 2009 selepas dia ditempatkan di sekolah sama dengan arwah
yang dua tahun lebih awal berkhidmat di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu arwah seminggu
sebelum cuti sekolah lalu dan mereka keluar bersama-sama ke sebuah bank.
Katanya, dia mengalami beberapa peristiwa pelik sebelum
kejadian itu dan ingin bercerita dengan arwah, namun hasrat itu tidak
kesampaian.
“Dua, tiga hari ni macam-macam peristiwa saya alami. Saya
pegang cawan tiba-tiba terlepas jatuh ke lantai, isi air susu dalam botol pun
terjatuh dan kaki tersepak pada bucu katil.
“Memang saya ingat nak cerita dengan dia benda pelik yang
saya alami, nak tanya apa petandanya… tapi tak sempat, bila dapat tahu dia
(Mohd Faizuri) dah terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam,
Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati pemandu Produa Alza
menghala ke Tanjong Karang gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke arah
bertentangan.
“Pada masa sama, Proton Perdana menghala ke Sungai Besar
tidak sempat membrek dan mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan
hingga mengakibatkan Produa Alza terbalik di bahu jalan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang memandu bersendirian Produa Alza
tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan
penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, pemandu Produa Alza dan bayi yang mengalami
cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapa bayi mengalami
cedera di lutut dan ibu bayi patah lengan kiri sementara ketiga-tiga anak
pasangan Proton Perdana tidak dikenalpasti identiti mereka dirujuk di Hospital
Sungai Buloh.
“Kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur
Amalina Abdul Hamid mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”
katanya.
Norazila yang mengalami kesakitan dalam kemalangan itu
sempat mendakap dan meriba anaknya yang telah meninggal dunia dan menatap
seorang lagi anak perempuannya yang terbaring di bahu jalan.
Mangsa maut yang memandu Produa Alza gagal mengawal
kenderaannya lalu terbabas dan terbalik ke arah bertentangan.
Note: only a member of this blog may post a comment.