CYBERJAYA 12 Okt. Minat yang begitu mendalam pada bidang
multimedia dan sifat tidak mudah putus asa menjadi resipi kejayaan pelajar
cemerlang Kolej Multimedia (MMC), Asyraf Azmin.
Pelajar jurusan
Diploma Multimedia berusia 22 tahun itu berkata, kedua-dua sikap berkenaan amat
diperlukan bagi membolehkan dirinya sentiasa bersedia menghadapi cabaran ketika
belajar.
Saya
bukanlah merupakan seorang yang dapat menangkap pelajaran dengan cepat, jadi
saya perlu tekun dan mengambil masa yang lama untuk memahami sesuatu topik.
Meskipun
begitu, saya tidak cepat berputus asa sebaliknya terus bertanya kepada
pensyarah, katanya
ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-15 MMC di Dewan Tun
Canselor, Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.
Pelajar berasal dari
Kota Bharu, Kelantan itu adalah antara 954 graduan yang menerima diploma
masing-masing dalam majlis konvokesyen tersebut.
Asyraf yang berjaya
mendapat purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.95 dalam pengajiannya berkata,
kejayaan itu juga disebabkan dorongan daripada kedua-dua ibu bapanya.
Pada
mulanya keluarga saya tidak begitu menggalakkan saya memilih bidang multimedia
ini.
Tetapi
setelah melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, mereka beralih arah dan
memberi sokongan kepada saya untuk terus berjaya, kata bekas pelajar Sekolah Menengah
Agama Arab Maahad Muhammadi itu.
Pencapaian Asyraf
yang seimbang dalam bidang akademik dan kokurikulum telah melayakkan beliau
menjadi penerima Anugerah Bestari.
Beliau yang kini
bekerja sebagai Pembantu Pengaturcara dengan Telekom Malaysia Berhad bercita-cita
menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Note: only a member of this blog may post a comment.