Kisah Cikgu Di Kelas Hujung Dengan Pelajarnya

Assalamualaikum
Namanya Farah Faizura binti Ahmad Rostam, cikgu yang baru ada 10 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan. ‘Baru’, kerana ramai lagi cikgu-cikgu di luar sana yang sudah ada pengalaman puluhan tahun. Jadi untuk ukuran 10 tahun, dia masih merendah diri untuk berkata ‘baru’.
Dahulu dia di Sarawak, dan selepas hampir lapan tahun terpisah jauh dari suami, kini dia sudah kembali bersama. Tetapi itu cerita lain.
Di sekolah baru, dia menjadi guru kelas untuk kelas yang paling hujung. Tiga H (Tiga Harmoni). Kelas di mana para cikgu perlu 200 peratus usaha hanya untuk memastikan pelajarnya membuat latihan yang diberi. Belum lagi untuk memastikan pelajarnya faham apa yang diajar.
Kelas yang pelajarnya, seperti sudah tidak ada motivasi dalam akademik. Yang sudah hancur percaya dirinya pada ketika melihat markah ujian yang sentiasa merah.
Lalu, perkara pertama yang dia buat adalah memastikan para pelajarnya tidak menganggap akademik itu menyisihkan mereka daripada kehormatan. Dia tidak mengajar lebih masa kerana ada juga keluarga di rumah, tetapi dia membuat sesuatu yang para pelajar itu mampu buat.
Iaitu, cuba memenangi pertandingan Kelas Ceria yang diadakan pada setiap minggu. Pemenang akan diumukan semasa perhimpunan hari Isnin.
Dia datang awal ke kelas, membeli bahan-bahan yang diperlulkan, langsir, lapik meja, malah membawa tikar juga akuarium. Semuanya atas belanja dia sendiri. Dia susun meja, dia lapik meja murid-muridnya, dan semuanya dia buat sendiri.
Ditanya mengapa tidak minta muridnya sahaja yang buat?
“Tidaklah saya buat semuanya. Saya minta juga mereka angkat-angkat barang dari kereta. Tetapi yang utama, saya mahu mereka tahu, selain ibu bapa mereka yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mereka, masih ada juga cikgu yang mereka boleh sandarkan harapan, yang boleh diberi hormat.
Hormat daripada pelajar kelas hujung adalah sangat mahal. Biasanya, mereka hanya memberi taat dan takut. Hormat tidak boleh diminta, tetapi ia perlu diusahakan. Lalu pada ketika saya memperoleh hormat mereka, akan ada banyak perkara baik yang boleh berlaku dengan sendirinya.
Jadi untuk permulaan, saya yang perlu menggerakkan ‘batu’ ini sendiri sebelum ia mampu bergolek dengan sendiri dan seadanya.”
Akhirnya, pada minggu pertama. Keputusan pertandingan Kela Ceria diumumkan. Pemenangnya adalah kelas Tiga H.
Pada ketika itu, ramai yang tidak percaya. Malah ketua kelas juga masih malu-malu untuk mengambil hadiah. Akhirnya rakan dia yang tampil ke depan. Ketika itu puji-pujian mencurah datang kepada para pelajar kelas hujung itu.
Ditanya kepada cikgunya apa reaksi pelajarnya.
Dia menjawab, “Saya mahu mereka percaya, akademik bukanlah satu-satunya perkara dalam dunia yang akan meningkatkan harga diri. Jadi akademik juga tidak pernah akan membuatkan manusia terhina. Yang mengangkat harga diri adalah sikap.
Kamu boleh tidak cemerlang dalam akademik, tetapi kamu harus cemerlang dalam sikap. Buat masa ini masih terlalu awal untuk berkata apa-apa. Daripada tiga kali pertandingan, mareka baru menang dua kali Kelas Ceria.
Cikgu-cikgu memuji mereka, dan percaya diri mereka naik. Doakan mereka akan menang lagi sampai hujung tahun. Yang pasti, mereka semakin rajin memastikan kelas mereka bersih. Mereka rajin memberi ikan-ikan makan.
Mereka sentiasa bantu membantu. Mereka sudah ada rasa tanggungjawab. Sudah ada rasa hormat kepada cikgu-cikgu. Dan paling penting sekali, sudah ada rasa hormat kepada diri sendiri.”
“Jadi, Cikgu sudah berpuas hati?”
“Puas hati bukan soalnya. Soalnya, siapa mereka nanti. Sekolah, bukan tempat ajaib untuk orang menjadi bijak pandai.
Tetapi sekolah adalah ‘medan perang’, untuk melawan segala perkara negatif yang ada dalam diri pelajar. Bukan menambahkannya, tetapi mengurangkan.
Kerana rasa hormat orang terhadap kita, bukan dibawa oleh sijil-sijil, tetapi dibawa oleh sikap.
Jadi, mereka tidak akan menyalahkan akademik kerana membuatkan mereka berada di kelas hujung, tetapi mereka akan percaya, kelas hujung pun boleh menjadi ‘bintang’ dan diberi penghormatan yang tinggi dengan sikap yang betul. Insya-Allah.”
GAMBAR HIASAN






0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.