KUALA
LUMPUR: Seorang wanita warga emas beragama Buddha memeluk Islam selepas
mengucap dua kalimah syahadah di depan kira-kira 3,000 mualaf lain pada Majlis
Korban Perdana Bersama Mualaf di padang bola Kampung Cheras Baru di sini, hari
ini. Wong Lan Eng, 70, yang sudah lama berhasrat memeluk Islam, akhirnya
bersedia selepas diislamkan oleh anaknya sendiri, Muhammad Johan Haiqal
Abdullah, 37, sebentar tadi.
Johan Haiqal yang juga Pengerusi Majlis
Pembangunan Belia dan Masyarakat Malaysia berkata, beliau gembira dan berbangga
kerana ibunya sangat tenang ketika proses pengislamannya terutama tepat pada
sambutan Aidiladha hari ini. "Hari ini ibu mengucapkan dua khalimah
syahadah di depan saya dan kakak, Shila Lama. Buat masa ini, ibu belum
mempunyai nama Islam tetapi beliau pernah memaklumkan mahu menggunakan nama
Fatimah," katanya ketika ditemui selepas proses pengislaman itu di sini,
hari ini. Beliau berkata, ibunya tidak mempunyai masalah ketika mengucapkan dua
khalimah syahadah itu,
sebaliknya lancar ketika berbuat demikian. "Ibu
yang dulunya seorang penganut agama Buddha yang tegar kini sudah sah seorang
Islam. Saya harap ibu akan mengamalkan ajaran agama baharunya dengan
baik," katanya yang memeluk Islam sejak 10 tahun lalu.
Note: only a member of this blog may post a comment.