JAKARTA: Presiden Joko Widodo hari ini membuat kejutan dengan menyaksikan sendiri operasi khas penangkapan beberapa penjawat awam di Kementerian Perhubungan di sini yang disyaki terlibat rasuah – lebih popular dipanggil ‘wang upah’.Presiden yang lebih dikenali dengan panggilan mesra, Jokowi memasuki kementerian berkenaan pada pukul 4.30 petang tanpa sebarang protokol dan diiringi oleh Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian.
Jokowi dikatakan mahu melihat sendiri operasi oleh pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan olehnya untuk membanteras kegiatan meminta wang upah atau dikenali sebagai Pengutipan Wang Liar (Pungli) dalam kalangan penjawat awam.
Media atas talian memetik Menteri Perhubungan Budi Karya Sumadi sebagai berkata, pasukan khas itu menyerbu Bahagian Pelayanan Publik dan Jabatan Perizinan Laut dan Darat sebelum menahan beberapa pegawai untuk membantu siasatan.
Polis juga turut merampas wang tunai dipercayai berjumlah puluhan juta rupiah dan beberapa dokumen untuk siasatan.
Jokowi kemudian memberitahu pemberita kerajaan memberi peringatan kepada seluruh jajaran pemerintah supaya menghentikan kegiatan ‘Pungli’ dalam melayani dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, sebuah pasukan khas akan menjalankan Operasi Pemberantasan Pungli (OPP) di semua jabatan kerajaan sebagai langkah membanteras kegiatan rasuah di kalangan penjawat awam.
“Stop, hentikan (Pungli). Sekarang sudah ada OPP baru saja sekitar sejam yang lalu, sudah kejadian yang seperti ini,” katanya.
Beliau juga mengarahkan Budi supaya memecat mereka yang ditangkap berkaitan kes Pungli itu dan mengarahkan polis mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan tiada lagi kegiatan seumpama itu berlaku di mana-mana jabatan kerajaan.
sumber : freemalaysiatoday
Note: only a member of this blog may post a comment.