Soalan:
Assalamualaikum, apakah hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang dikumandangkan ?
Jawapan:
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat, ahli keluarga, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat. Amma Ba’du.
Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikannya terlebih dahulu kepada beberapa bahagian:
Hukum Mengambil Wudhuk Sebelum Dan Selepas Azan.
Para Ulama apabila menyebutkan berkenaan beberapa keadaan yang mana perbuatan sunat itu lebih afdhal berbanding perbuatan wajib mereka menyebutkan berkenaan hukum wudhuk sebelum dan selepas azan. Mereka mengatakan bahawa hukum mengambil wudhuk sebelum azan adalah Sunat. Manakala hukum mengambil wudhuk selepas azan adalah Wajib.
Kata al-Imam Ibn al-Subki Rahimahullah:
Berwudhuk sebelum masuk waktu itu adalah sunat dan ia lebih afdhal berbanding (berwudhuk) setelah masuknya waktu. Inilah pendapat yang dijelaskan oleh al-Qammuli dalam al-Jawahir dan sesungguhnya berwudhuk itu wajib setelah masuknya waktu solat. Lihat Al-Asybaah wal-Nazhair, al-Suyuthi (1/272).
Hukum Menjawab Seruan Azan
Perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ
Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.
Riwayat Muslim (383)
Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah S.A.W iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.
Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " عَلَى الْفِطْرَةِ " . ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah S.A.W mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka”.
Riwayat Muslim (382)
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.
Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan
Wudhu’ semasa azan dikumandangkan adalah harus hukumnya dan tidak terdapat larangan dari sudut syarak. Akan tetapi, dikehendaki bagi orang yang berwudhuk untuk berusaha menjawab azan selepas diucapkan oleh muazzin berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ
Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.
Riwayat Muslim (383)
Khatimah
Akhir kalam, kami berpendapat bahawasanya hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang berkumandang adalah dibolehkan. Walaupun begitu, adalah lebih baik untuk kita bersiap sedia mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum azan dikumandangkan kerana itu lebih afdhal. Mengambil wudhuk sebelum azan juga memberikan ruang kepada kita menjawab laungan azan sebaik sahaja ia dikumandangkan. Maka dengan ini, kita akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang lebih banyak di sisi Allah S.W.T. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.
Akhukum Fillah
Sumber: MuftiWP
Note: only a member of this blog may post a comment.